Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh
Thuwaiba, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu
Sa'ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan
Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin
Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang
anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman
dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad
sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin
bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu
Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke
pedalaman.
Kisah Dua
Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang
malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka
bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya
tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya
menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada
Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh
ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama
lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan
penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa
pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk baginda, Abdul
Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah
untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm Aiman, budak
suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan
tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan
mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke
Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang
dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka
sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu
dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman
dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak
yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa
saudaranya.
"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia
melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia
memberikan petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan
lama. Ketika baginda berusia lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia.
Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia
mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan
berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman
kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam
kesusahan.
Muhammad
diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih
tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang
mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling
halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib menyayangi
Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan
budi pekerti Muhammad yang mulia.
Pada suatu hari, ketika mereka
berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka
bertemu dengan seorang rahib Kristian yang telah dapat melihat tanda-tanda
kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak
pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti
baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat
rahib tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia
pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga
telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda mengikut mereka ke
pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair
terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda
juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing
keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung
tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh
dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada
perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu
"Al-Amin".
Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh
bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang
peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh
ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan
keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya
untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita
bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima
lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran
baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.
Turunnya Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah
menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu,
baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan
nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan
menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada
Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96:
1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh
Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih,
diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian
baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya
untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah
berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian
baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan
ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan
keluarganya sahaja.
Dakwah
Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk
berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran
Islam secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara
terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari
orang-orang yang musyrik." (Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk
Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda
dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri.
Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia
sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari
kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya.
Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku, andai
matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku,
agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama
Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya"
Baginda
menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada
penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah.
Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para
sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin
Rabah yang menerima siksaan yang berat.
Wafatnya Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika
itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima
oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya
wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu
membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia
juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung
kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang
mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang
dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh
baginda.
Hijrah Ke
Madinah
Tekanan
orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas kepergian
isteri dan bapa saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil keputusan untuk
berhijrah ke Madinah berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh
baginda.
Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah.
Mereka digelar kaum Muhajirin manakala penduduk-penduduk Madinah dipanggil
golongan Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk
Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas s.a.w
sendiri.
Negara Islam
Madinah
Negara Islam yang
baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Makkah dan
gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam yang lain. Namun begitu,
Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan
sepenuhnya pentadbiran dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda
dilantik sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis
telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan hubungan
antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan merangkumi aspek politik,
sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan
wahyu dan dijadikan dasar undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang
mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting bagi
melindungi agama, masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali
ekspedisi tentera untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan
yang ditempuhi baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H),
Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua
peperangan diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah,
Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum
Musyrikin Makkah. Maka dengan itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi
Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H
bersama dengan 10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang
disertai oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya
mendapat kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah menunaikan haji
bersama-sama dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan
amanat baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang
bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa
dan kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang
paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu,
iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah."
Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12
Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya
sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang
benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang
zaman.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar